بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم
Mari, aku ceritakan kepada kalian sebuah kisah.
Mari, aku ceritakan kepada kalian sebuah kisah.
Satu hari, ada seorang lelaki kaya. Dia punya kekayaan nak dijadikan cerita, seluas saujana mata memandang. Dari utara hingga selatan tanah air, ada saja harta dan asetnya. Mudah bicara, kaya dan mendapat kesenangan dari tuhan.
Namun takdir tuhan, beliau jatuh nazak. Beliau pun memanggil anak-anaknya untuk memberikan harta dan wasiat-wasiat seperti pembahagian harta dan ladang-ladang. Tidak ketinggalan rumah-rumah dan aset syarikat yang berkepuk. Namun dia telah membuat suatu permintaan yang mengejutkan.
"Abah ada satu peti besi di dalam bilik abah. Di dalam peti besi tu ada sepasang stokin buruk. Abah mintak masa abah nak kena sipan nanti korang pakaikan stokin tu kat kaki abah. Tu je permintaan terakhir abah"
Anak-anaknya terdiam dan mengangguk. Tidak terkata sebagai menghormati abah mereka. Tidak berapa lama kemudian, lelaki kaya itupun menghembus nafasnya yang terakhir. Maka menangislah anak-anaknya . Walaupun mereka mewarisi harta yang banyak, namun masih, kehilangan bapa tercinta terkesan di hati.
Maka mereka pun mengumpulkan sanak keluarga terdekat dan imam masjid untuk menguruskan jenazah. Selesai segala urusan memandikan dan mengkafankan, maka pergilah anak sulung lelaki itu kedepan, bagi mengimami solat. Dengan penuh sayu anak itu berdoa akan keselamatan dan syurga serta keampunan bapanya.
Ketika tiba saat pengkebumian, maka anak sulung lelaki itu pun hendak menyarungkan stokin yang busuk dan koyak rabak itu ke kaki ayahnya. Namun sang imam menegah.
"Eh mana boleh. Kamu gila ke apa nak tanam benda ni dengan ayah kamu!"
"tapi pak imam, ayah dah pesan, nak tanam stokin ni dengan dia. tu wasiat terakhir dia tu pak imam. Saya taknak la tak dapat tunaikan wasiat terakhir dia."
"Ya Allah, benda-benda macamni bukan aku kata tau. Islam yang kata. Tak boleh tetap tak boleh!"
Setelah beberapa siri tegang urat. maka anak lelaki itu pun membuat keputusan untuk berjumpa dengan peguam bapanya untuk menyelesaikan masalah tersebut. Ketika ketibaan mereka ke pejabat peguam tersebut, peguam menyambut mereka dengan ucapan takziah. Tanpa melengahkan masa, mereka pun menceritakan masalah mereka kepada peguam tersebut.
Peguam dengan yakin masuk ke pejabatnya dan mengeluarkan sepucuk surat.
"Ini, bapa kamu tinggalkan untuk kamu. Dia pesan akan berlaku kekecohan pada hari pengkebumiannya. Ambillah dan baca."
Anak lelaki itupun mengambil dan membuka dengan berdebar-debar surat yang ditinggalkan bapanya.
"Kehadapan anak-anakku yang ku kasihi. Aku berharap kalian berapa dalam keadaan sihat setelah pemergianku. Pesanku, janganlah bersedih atas pemergian ini. Sesungguhnya setiap yang hidup itu akan mati.
Wahai anak-anakku, aku tahu telah berlaku kekecohan di hari pengkebumianku. Aku tahu pasti kalian bergaduh dengan pak imam. Kalian hendak memenuhi wasiatku yang berkehendakkan agar stokin buruk itu ditanam bersamaku tetapi ditegah oleh pak imam mengatakan bahawa agama melarang.
Wahai anak-anakku, dengarkan kamu kemari. Sesungguhnya bersaksilah bahawa aku sebenarnya tak mahu pun stokin buruk itu dipakaikan kepadaku. Namun ada wasiat besar yang ingin aku tinggalkan kepada kalian.
Wahai anak-anakku, dunia ini tempat yang fana. Dunia ini tempat yang penuh dengan dugaan dan cabaran. Apa kekayaan yang tuhan kurniakan kepadaku hanyalah tipu daya semata-mata. Tiada yang kekal. Kalian liahtlah, jangankan hartaku yang melimpah ruah, jangankan aset-asetku bernilai billion ringgit, stokin buruk yang berlubang, busuk dan kotor itupun aku tidak boleh bawak ke alam kubur nanti. Lihatlah anak-anakku, janganlah engkau tertipu dengan dunia kerana tiada yang mampu engkau bawa ke alam kubur, melainkan amalan yang baik dan bermanfaat."
Maka tatkala membaca surat tersebut, berlinanglah air mata anak-anak lelaki tersebut mengenangkan pengajaran yang diajarkan bapanya.
-----
Betapa dunia ini fana, bersaksilah bahawa mereka yang mencari dunia pasti akan rugi. dan sesiapa yang mencari dunia, lalu disalurkan untuk akhirat, maka pastilah tergolong mereka dalam orang-orang yang berjaya dan kaya,jika bukan di dunia,
di akhirat kelak :)
Agar hidup, dalam rahmat tuhan :)
(ipoh railway station) |
No comments:
Post a Comment