Monday, 8 February 2016

Ibuku

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم

Tangisan bayi itu makin kuat kedengaran. Tanpa melengahkan masa, sang bapa terus mengazankan dan membacakan doa, mengucapkan syukur kepada tuhan atas rezeki yang diberikan.
Maka, sebegaimana kebiasaan adat orang-orang kita, bayi tersebut dijaga, disusukan dan dimanjakan bagai menatang minyak yang penuh.

Masih jelas di mata bagaimana sang ibu terpaksa bersengkang mata tiap malam menepuk dan memujuk anaknya agar berhenti menangis . Masih jelas di ingatan bagaimana dengan penuh kasih sayang dikendong anak kesayangan itu ke mana-mana. Masih jelas walaupun penat membancuh susu, menukarkan kain lampin, namun semua itu dilakukan dengan penuh ikhlas demi kebahagiaan anak tercinta.

Masa berlalu begitu pantas, sang anak berjaya melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh . Tersenyum tatkala mengingatkan muka masam sang anak ketika hari pendaftaran. Tersenyum tatkala mengingatkan air mata yang dikuis di pipi sang anak saat menciumnya. Tersenyum tatkala mengingatkan lambaian saat meninggalkan anak untuk pulang ke rumah.

Ketika itu, beribu doa dipanjatkan agar anaknya selamat. Beribu doa dimohon agar anaknya mampu menjadi insan yang bijak pandai. Beribu doa diminta agar dimudahkan segala urusan oleh tuhan. Sang ibu, sambil menyeka air mata yang menitis, tersenyum redha anaknya dilepaskan pergi, moga menjadi 'manusia'.

Tersenyum sang ibu saat melihat anaknya membuat kerja rumah setiap kali cuti, menghabiskan buku-buku latihan dan menghafal formula-formula dan tips peperiksaan. Tersenyum sang ibu saat dikhabarkan bahawa anaknya harapan sekolah. Tersenyum sang ibu saat melihat gambar anaknya terpampang sebagai harapan sekolah. Ah, menitis lagi air mata!

Tamat persekolahan dengan cemerlang, sang ibu mula perasan akan perubahan anaknya. Saat menghadap handfon, tersenyum. Saat melayari internet, tersenyum. Ketika tidur juga tersenyum. Merenung dinding juga tersenyum! Lalu apabila ditanyakan, sang anak menyatakan bahawa dia mahu berkahwin.

Sang ibu terperanjat namun tersenyum. Dinasihatkan anaknya agar menghabiskan pelajaran dahulu. Sayang sekali potensi besar yang ada diganggu dengan tanggungjawab. Sang anak masam.

"Ibu, orang dah besar lah. orang dah boleh bawak diri sendiri, dah boleh nak bawak isteri sendiri. Apa yang orang dapat kat sekolah dulu dah cukup. Bio,fizik,kimia semua tu dalam dada ni ha. Orang faham segala tanggungjawab dan orang rasa taklah susah mana nak kahwin ni. Akad, walimah, lepastu selesai. Ilmu orang dah cukup tinggi la bu." kata sang anak

" Kut ye pun, habiskanlah belajar dulu. nanti dah habis belajar kamu kahwinlah. Ibu tak halang."

"Ah, ibu pun sama dengan ayah. Belajar, belajar, belajar, sampai bila nak belajar. Tak cukup lagi ke apa yang orang belajar selama ni?! " bentak sang anak

Sang ibu beristighfar panjang. Sedih dengan perilaku anaknya yang melampaui batas. Sang  ibu berfikir dan akhirnya membuat keputusan. Baginya, jika inilah cara untuk mengajar anaknya, maka dimohon agar Allah meredhai segalanya.

"Kahwinlah, ibu benarkan, tapi dengan syarat kamu tinggal jauh dari ibu. Kalau kamu tak sanggup, lupakanlah."

"Orang sanggup bu." kata sang anak sambil tersenyum gembira.

Masa berlalu, sang anak sudahpun berkahwin dengan pilihan hatinya dan dikurniakan Allah seorang anak. Saat menyambut kelahiran anak itu, diazankan anak tersebut. Malang sekali, sang jururawat menegur bahawa ini anak perempuan. Diiqamatkan sahaja tidak perlu azan. Malu yang pertama.

Ketikamana, ingin membuang uri, kalut sang bapa mencari di internet cara membuang uri, namun tidak ditemui. Sudahlah dibebel sang isteri, terpaksa pula meminta bantuan jiran untuk membuang uri anaknya sendiri. Malu yang kedua.

Saat ingin membasuh najis sang anak, sang bapa terkial-kial menguruskan sang anak yang tidak reti duduk diam. Sudah jatuh ditimpa tangga, habis basah bajunya terkena kencing sang anak. Lantas dipanggil isterinya untuk menyelesaikan hal tersebut. Sudahlah baju basah, dibebel pula oleh sang isteri, didengari jiran sebelah. Malu yang ketiga.

Pada malam hari pula, sakit telinganya mendengarkan teriakan anaknya yang tidak henti-henti. Puas ditepuk dan diberikan susu, namun anaknya tetap tidak mahu lelap. Malah, makin kuat pula tangisannya. Sudahlah tidak boleh tidur, terpaksa mengejutkan sang isteri, dibebel dan dedengari bebelan tersebut oleh jiran sebelah. Malu yang keempat.

Kecewa. Sang bapa kecewa dengan dirinya sendiri. Mana kegunaan ilmu fizik, mana perginya intelektual yang dimilikinya dahulu. Bermain dimatanya jika dahulu dia mengikut nasihat ibunya menyambung pelajaran. Sudah semestinya dia akan menjadi doktor yang berjaya. Sudah semestinya dia menjadi orang yang mampu membahagiakan isterinya. Kini, sudahlah tiada duit, isteri pula kuat membebel, didengari pula jiran sebelah. Haih, sungguh, dia tidak tahu dimana hendak diletakkan mukanya.

Mukanya diraup. Kalimah istighfar dialunkan. Hatinya dicekalkan.

"Assalamualaikum ibu, ni anak ibu. Orang nak minta maaf..."

Sang ibu disebelah sana tersenyum.

-----

Prioriti. Jangan dahulukan kehendak melebihi keperluan.
Hormat. Jaga hati ibu bapa melebihi segalanya.
Sombong. Membawa ke lembah kehinaan.

Selagimana hayat di kandung badan, jaga ibu bapamu. Jaga santun pekertimu. Jaga lidah dan impianmu. Fikirkan dengan akal, bulatkan dengan tekad.

-Agar hidup, dalam rahmat tuhan :)

*hiasan


3 comments: